ALOR SETAR – Dua lelaki dari Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor, Perak, ditahan bersama pasangan masing-masing kerana disyaki berkhalwat di dua hotel bajet berasingan, di sini malam kelmarin.
Serbuan sempena Operasi Kekasih (Ops Kekasih) yang dilakukan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) itu memberi tumpuan di hotel-hotel bajet sekitar bandaraya Alor Setar menjelang Hari Kekasih.
Dalam serbuan pertama di sebuah hotel bajet Jalan Lengcong Barat, Tandop, dekat sini, lelaki berusia 31 tahun dari Langkawi yang juga suami orang itu ditahan dengan mengambil masa kira-kira 40 minit sebelum membuka pintu bilik.
Hasil pemeriksaan penguatkuasa mendapati pasangannya wanita berusia 30 tahun menyembunyikan diri di dalam bilik air.
Penolong Pengarah Undang-undang Syariah Jaik, Sheikh Mohd Roshidi Mohammad berkata, lelaki yang mempunyai dua anak itu memberi alasan tidak melakukan apa-apa perbuatan salah.
“Mereka memberi alasan bertemu untuk berkongsi masalah peribadi selepas saling mengenali empat tahun lalu.
“Ketika diserbu pasang itu berpakaian lengkap dan turut memberi alasan sedang tidur ketika pintu bilik diketuk. Hasil siasatan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang hubungan yang sah,” katanya
Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di sebuah hotel di Jalan Putra, di sini, Jaik menahan seorang wanita berasal dari Sungai Tiang, Pendang, bersama kekasihnya yang berasal dari Pulau Pangkor.
Ketika diserbu pasangan berkenaan enggan bekerjasama kepada pihak berkuasa dengan memberi pelbagai alasan supaya mereka dilepaskan.
Pasang terbabit turut memberi alasan akan berkahwin dalam masa terdekat bagi mengelak daripada ditahan.
Wanita yang bekerja di sebuah hospital swasta dan pasangannya itu, bagaimanapun akur dan menurut perintah penguat kuasa.
Mereka dipercayai mendaftar masuk hotel berkenaan beberapa jam sebelum serbuan dilakukan.
Kekasih pasar raya dicekup
Dalam serbuan berlainan, seorang lelaki memberi alasan untuk menumpang tandas di rumah kekasihnya ketika diserbu penguatkuasa Jaik di sebuah rumah flat, Jalan Kuala Sungai, dekat sini.
Pasangan itu yang juga pekerja sebuah pasar raya besar ditahan dalam keadaan mencurigakan apabila pihak berkuasa mendapati pintu gril dan pintu utama rumah berkenaan dalam keadaan berkunci.
Selepas pintu rumah diketuk kira-kira lima minit, seorang wanita berusia awal 20-an membuka pintu. Manakala pasangannya keluar daripada bilik air dalam berseluar jeans tanpa memakai baju.
Hasil soal siasat mendapati mereka tidak mempunyai sebarang ikatan yang sah.
Operasi kurangkan gejala maksiat
Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga jam 4 pagi itu, Jaik berjaya menahan empat pasangan yang masing-masing tidak mempunyai hubungan yang sah.
Operasi yang dianggotai 38 penguatkuasa termasuk anggota Rela Rakan Persatuan Komunikasi dan Keselamatan Melayu Kedah (KMK) memperlihatkan usaha membanteras gejala maksiat pada malam perayaan tertentu berhasil.
Sheikh Mohd Roshidi berkata, selain serbuan di hotel-hotel bajet yang menjadi sarang maksiat, pihaknya turut menerima aduan dan maklumat orang awam mengenai aktiviti tidak bermoral di rumah kediaman.
“Hasil operasi malam ini kita mendapati gejala maksiat di sekitar bandar raya ini semakin berkurangan berbanding tahun-tahun lalu.
“Ini adalah kesan daripada pemantauan dan serbuan yang dilakukan pihak kami dari semasa ke semasa. Bagaimanapun kita akan terus membuat pemantauan supaya kegiatan tidak bermoral diperangi habis-habisan,” katanya.
Menurut beliau, pada operasi yang sama tahun lalu pihaknya berjaya menahan 10 pasangan yang turut membabitkan operasi di hotel-hotel bajet.
Beliau berkata, kesemua empat pasangan yang ditahan dalam Ops Kekasih itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Setar untuk diambil keterangan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Jaik untuk siasatan lanjut.
“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 9 (1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988. Hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah,” katanya.
IMPORTANT NUTRITION DURING PREGNANCY
0 comments